Kenanga lancar The HumandKIND Project


Sze Phing (kiri) dan Stevens menunjukkan kempen HumanKIND
Kenanga melancarkan ‘Meals That Give’, sebuah kempen di bawah program kemasyarakatannya, The HumanKIND Project yang dirancang untuk meneruskan sokongan kepada sebuah kafe Orang Kelainan Upaya (OKU), Café Includes menerusi platform kutipan dana dalam talian, Sedunia.
Bagi menggandakan impak setiap ikrar sumbangan, makanan disumbangkan bukan sahaja akan digunakan bagi menjamin pekerjaan ahli-ahli Café Includes yang kelainan upaya, tetapi juga menyokong komuniti yang memerlukan, menerusi pengagihan bungkusan makanan kepada kanak-kanak di rumah anak yatim serta komuniti gelandangan.
Rakyat Malaysia kini dapat mengikrar sumbangan makanan dari Café Includes bermula pada harga serendah RM20 di www.sedunia.me/campaigns/kenangahumankind/. Bagi menggalakkan penyertaan, Kenanga akan menyemarakkan lagi ikrar sumbangan dengan memadankannya 1 dengan 1.
Di bawah ‘Meals That Give’, kami akan menyediakan makanan untuk mereka yang kurang bernasib baik, di samping membangkitkan kesedaran serta menyokong komuniti kelainan upaya di Café Includes. Kami berharap semoga melalui inisiatif ini, kami dapat menjadikannya lebih mudah dan berpatutan untuk semua rakyat Malaysia memainkan peranan mereka demi kebaikan sosial,” kata Chuah Sze Phing, Ketua Pemasaran Kumpulan, Komunikasi dan Kelestarian Kenanga.
Sukarelawan kakitangan Kenanga akan menyelaras dan mengagihkan sumbangan makanan dari Café Includes kepada penerima-penerima dari Persatuan Kebajikan An-Najjah Malaysia, Rumah Ozanam PJ dan Pertiwi Soup Kitchen.
Pada tahun lepas, menerusi pelancaran The HumanKIND Project, Kenanga telah membantu mengumpul lebih 5,000 tempahan untuk Café Includes, yang telah membantu menjamin kelangsungan perniagaannya sepanjang pandemik serta mengekalkan mata pencarian 15 orang kelainan upaya yang mengendalikan kafe tersebut.